Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Saturday, January 8, 2011

Aku Mahu Menangis

4:11 PM Posted by freezer_91 No comments

-a picture by ~BlackSnoopy of deviantart-



Taman Mundur Selalu
8 Januari 2011
4.30 pagi

Bunyi telefon bimbitnya menjerit nyaring mengejutkan Afir dari tidur. Dia pantas memanjangkan tangannya untuk mengambil telefon bimbitnya itu dan bunyi alarm itu dimatikan.

Afir kemudian bangun dengan mata terpisat-pisat. Dia cuba untuk menghalau rasa mengantuk yang teramat yang masih lagi bergayut di atas kelopak matanya. Dia menggeliat kecil sebelum hatinya melafazkan tahmid, bagi mensyukuri nikmat kurniaan Allah S.W.T. kerana masih lagi mengizinkannya hidup sehari lagi. Selepas beberapa minit termenung, Afir mula bangun berdiri tegak di sisi katil dan terus meluru ke arah tandas untuk membersihkan diri.

Selesai sahaja membersihkan diri, Afir mengambil wuduk dan terus mengerjakan solat tahajud dan solat taubat. Dia berdoa bersungguh-sungguh, meminta ampun dari Penciptanya. Betapa terlalu banyak dosa yang telah dilakukannya sebelum ini. Dia ingin menangis, namun, matanya sudah kering, tidak lagi mahu mengeluarkan air mata. Kini baru dia sedar, dia tidak mampu menangis.

Dia teringat kisahnya yang berlaku dahulu sebelum dia pulang untuk bercuti selama 2 bulan.

Sewaktu itu, dia berada di masjid, menunggu masuknya waktu solat Maghrib. Usai solat Maghrib, dia berada di suatu sudut, untuk membaca al-Quran. Dia terus membaca al-Quran dan mindanya hanyut menghayati ayat al-Quran yang dibacanya.

Setelah 4 helai habis dibacanya, seorang pelajar meminta tolong agar mencapai al-Quran yang berada di belakangku. Aku berada betul-betul di hadapan rak al-Quran, jadi aku langsung tidak mempunyai masalah untuk membantu dia. Al-Quran dicapai dan diberikan kepadanya.

Aku meneruskan pembacaanku. Helaian ke-5. Baru sahaja separuh dari helaian itu, aku terdengar suara esakan dari orang di hadapanku. Orang yang meminta al-Quran tadi. Aku yakin benar bahawa surah yang dibacanya adalah surah al-Baqarah. Aku begitu mengenali ayat tersebut kerana ayat yang dibacanya adalah ayat permulaan surah al-Baqarah.

Aku segera menyelak helaian surah al-Baqarah untuk melihat maksudnya.

6. Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, engkau (Muhammad) beri peringatan atau tidak beri peringatan, mereka tidak akan beriman.

7. Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.

8. Dan di antara manusia ada yang berkata,”Kami beriman kepada Allah dan hari akhir,” padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

9. Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.

“Allah..sudah banyak kali aku membaca surah al-Baqarah, baru hari ini aku sedar betapa bermaknanya ayat ini. Abang di hadapan ini baru sahaja membaca tidak sampai separuh muka surat sudah menitiskan airmata. Aku yang membaca lima muka surat lebih masih lagi belum mampu menitiskan airmata? Ya Allah...”Afir termenung sendirian.

Betapa banyaknya perbezaan dia dengan abang itu.

"Ya-Allah, beginikah orang-orang yang dekat kepadaMu? Mudah sekali mereka menangis. Kurniakanlah aku hati yang mudah menangis mendengar ayat-ayatMu Ya-Allah..." Hatinya bergetar. Afir terus melayan perasaannya. Dia cuba untuk mengeluarkan airmata. Namun, cubaannya itu menemui jalan buntu.

Sekali lagi bunyi telefon bimbit menjerit nyaring menyedarkan Afir dari lamunannya. Akan tetapi kali ini bukanlah bunyi alarm, tetapi bunyi mesej masuk.

Afir terus mencapai telefon bimbitnya dan ibu jarinya menekan telefon bimbitnya untuk membaca mesej tersebut.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda :
"Tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah dan tidak akan masuk syurga orang terus menerus maksiat kepada Allah. Sekiranya kamu tidak berdosa pasti Allah akan mewafatkanmu dan Dia akan mendatangkan satu kaum yang berdosa kemudian mengampuni dan menyayangi mereka. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang"
Sender : Faiz +6014-9876532

Sekali lagi mesej yang terkesan pada hatinya. Faiz, teman sebiliknya ketika sem satu dahulu. Faiz banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya, mengajak dia ke arah kebaikan. Pendek kata, banyak ilmu yang dia dapat pelajari dari Faiz.

Telefon bimbit ditekannya bagi mencari nama Faiz di dalam senarai panggilan. Butang panggilan ditekannya. Dia ingin meluahkan perasaanya kepada rakannya itu. Dia mendekatkan corong telefon ke telinganya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam. Kenapa telefon pagi-pagi ni?” tanya Faiz.

“Aku mahu menangis Faiz, aku mahu mengeluarkan airmata, tetapi aku tak mampu.”

“Kenapa ni Afir? Cuba cerita.”

“Aku banyak berdosa, aku ingin mengeluarkan airmata. Airmata hanya untuk Allah. Tetapi aku gagal. Aku gagal. Sudah banyak kali aku memaksa mataku ini tetapi gagal.”

“Afir, manusia takkan lepas daripada tangisan. Mungkin dahulunya kita selalu menangis, tetapi di manakah tangisan itu kita halakan? Adakah kepada yang berhak menerimanya? Kita semua pernah menangis, tetapi kebanyakan tangisan kita adalah tangisan murahan. Tangisan orang yang ditinggalkan kekasih, orang yang kehilangan harta benda, orang yang gagal dalam peperiksaan. Namun, semua tangisan itu tidak berharga. Tangisan itu adalah tangisan dunia.”

“.....,” Afir termenung. Teringat dia sewaktu dia ditinggalkan kekasihnya dahulu. Berpuluh-puluh malam matanya dibasahi dengan airmata. Teramat sedih ketika itu. Dia tidak boleh menerima hakikat tersebut. Betapa hina dirinya, menangis akibat benda sekecil itu. Namun, itulah yang dinamakan pengajaran. Pengajaranlah yang senantiasa menolak kita kehadapan. Mengenal mana salah, mana betul. Hatinya mula terusik apabila mengenangkan betapa jahilnya dirinya dahulu.

“Kau fahamkan maksud aku?”

“???”

“Tangisan yang berharga adalah tangisan kerana Allah. Kita tahu setiap dari kita tidak terlepas dari dosa-dosa yang bertimbun banyaknya. Dosa-dosa yang kita lakukan, sudahkah terampuni? Amal-amal yang kita lakukan, apakah diterima? Bayangkan jika kita tidak layak masuk ke syurga kerana sikitnya amal kita. Bayangkan bagaimana ngerinya jika kita dihumban ke dalam neraka. Na’uzubillah. Kita semua tidak mahu perkara itu terjadi.”

“Hurmmm...” hati Afir mulai sebak.

“Afir, menangislah tatkala kita masih lagi sempat menangis. Menangislah, kerana itu sunnah! Jika kita tidak boleh menangis, maka menangislah akibat daripada tidak bolehnya kita menangis! Fikirkan, terlalu gelapnya hati kita kerana tidak mampu menangis. Betapa sombongnya kita kerana tidak mahu menangis!” Faiz melantangkan sedikit suaranya.

Afir tidak dapat menahan tangisnya lagi. Badannya tidak henti-henti menggeletar. Air matanya mulai mencurah-curah membasahi pipinya. Dia menekup wajahnya. Teresak-esak.

“Afir, menangislah sepuas-puasnya. Muhasabahlah dirimu itu,” Faiz meletakkan telefon. Dia ingin membiarkan Afir keseorangan. Tidak mahu mengganggunya.

“Ya Allah, aku banyak dosa! Jangan tarik aku ke neraka Ya Allah! Aku ingin bertaubat. Ampuni aku Ya Allah.” hatinya bermunajat lirih.

Dia menangis semahu-mahunya. Dia terkenangkan dosa-dosanya yang lampau. Maksiat yang telah dilakukannya berlegar di benak fikirannya. Afir terus menangis. Hatinya hiba. Hujan mulai turun membasahi bumi Kelantan. Menambahkan lagi kehibaannya. Dia ingin berubah. Kini hatinya menangis. Dan tangisan itu adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk Rabbnya. Tangisannya bukan lagi tangisan murahan. Tangisan yang mampu memadamkan api neraka.

Azan Subuh mula berkumandang.

Pagi itu, Subuh telah mendapatkan seorang lagi yang benar-benar ingin kembali kepada Penciptanya. Afir terus menerus menangis walaupun dalam solat....



p/s : 100th entri, bangga rasa...=.="



-freezer_always-
-4.11 p.m.-
-8/1/2011-

Menangislah hingga yang termampu...

0 comments :

Post a Comment