Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Thursday, December 30, 2010

Apabila Kita Bising Tentang Indonesia-Malaysia...

12:21 AM Posted by freezer_91 No comments

-picture of ~John Pecko of deviantart-


Mencari Yahoo Messenger untuk dilog masuk. Jumpa sahaja dia terus mengisi data-data yang diperlukan dan menekan butang "sign-in".

Seketika kemudian, muncul satu pop-up window.

Eli : Jom chat.

Afir : Ok juga, lagipun tengah boring ni. Menantikan cerita pukul 6.30 petang nanti.

Eli : Owh, cerita yang ganti Seribu Kali Cinta tu ke? Best ke cerita tu?

Afir : Eh..?
Eli : Betul la kan? TV3?

Afir : Eh, mana ada, Astro Ceria la. Cerita "Bukan Diriku". Tengok ketika ada masa je.

Eli : Owh, saya ingatkan cerita TV3 tadi. Saya kurangla cerita-cerita yangpenduduknya buat hal kat sini.

Afir : ...

Eli : Yelah, sokong lagi cerita mereka semua tu.

Afir : Ini seorang lagi, anti-Indonesia. Kenapalah awak cakap begitu.

Eli : Ya la, mereka semua mana ada nak terima cerita kita di negara mereka. Artis kita pun susah nak masuk ke sana. Mereka datang sini punyalah senang. Kita? Susah sangat-sangat. Lepas itu, pasal hal bola, sedap-sedap sahaja buat tuduhan palsu macam tu.



Tersenyum sahaja melihatkan kemarahan kawannya itu. Kawan ketika sekolah menengah dahulu. Cuma yang membezakan hanyalah dia terlebih dahulu mengambil SPM daripada diriku. Tetapi, hubungan kami tidak pernah putus, sentiasa berhubung walaupun melalui alam maya.

Melihatkannya bising tentang Indonesia. Indonesia. Negara jiran kita sendiri. Serumpun. Seagama. Namun, kata sahaja sejiran dan serumpun, ada sahaja pergaduhan yang ingin dicari hinggakan menyebabkan mogok sana mogok sini. Sekali lagi, saya ingin mengajak para pembaca, lihatlah keluasan tatkala terjadinya pergaduhan.

Bukanlah hendak mengatakan tidak membela negara sendiri tetapi aku juga pernah menghadapi situasi yang sama. Bahkan baru sahaja berlalu. Pergaduhan peminat bola sepak Malaysia-Indonesia di laman web facebook. Melihatkan negara Malaysia dicaci, dihina sebegitu rupa, rakyat mana yang tidak akan berang.

Mulalah mengeluarkan kata-kata kesat, dan seperti biasa kata-kata itu tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Akan ada, semestinya akan dibalas balik dengan kata-kata kesat mencaci negara kita. Namun, itu semuanya adalah permainan syaitan semata-mata. Betapa seronoknya melihatkan umat Islam bergaduh sesama sendiri.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

(Surah Ali ‘Imran : 103)


Terkesan. Itulah perkataan yang dapat diungkapkan apabila membaca ayat ini. Kita dahulunya diikatkan dengan perasaan kasih dan sayang terhadap sahabat sesama Islam. Oleh sebab itulah kita diselamatkan daripada kekufuran. Kerana kita berada di dalam nuansa orang-orang yang beriman! Tidak seorang pun yang dibenarkan jatuh. Jika ada yang jatuh, seribu bahu datang membantu. Tetapi sekarang, nampaknya kita sudah kembali ke jurang neraka. Ingin menjadi penghuni neraka. MasyaAllah.

Ingatlah, tiada siapa yang mampu menentukan negara yang akan dihuninya ketika lahir nanti, sama ada Malaysia ataupun Indonesia, ataupun Amerika. Itu semua adalah ketentuan Allah S.W.T., dan sudah tentu bukan di atas usaha atau darjat seseorang itu. Jadi, sebelum kita mula melemparkan kata-kata kesat itu, ayuh kita berfikir sejenak dan memahami keadaan dengan baik supaya kita tidak menyalahkan atau menghina sesebuah negara atas sebab kesalahan kecil yang dibuat oleh negara tersebut. Cuba kita fikir bagaimana jika kita berada di tempat mereka?

“...dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."

(Surah al-Isra : 15)

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukanlah salah kepimpinan negara tersebut. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda :

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan”

(Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman akan berlaku. Ya. Perkauman di dalam kalangan kaum Melayu sendiri. Janganlah kita begitu cepat menilai kata-kata media yang sekarang ini tidak boleh untuk dipercayai. Kita seharusnya menyiasat perkara ini terlebih dahulu, janganlah menjadikan orang lain sebagai mangsa. Martin Luther King pernah menyebut, “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Kita semestinya sudah tahu bahawa antara tujuan kita diciptakan berlainan negara, bangsa, dan agama adalah untuk saling kenal mengenali sesama kita.

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya."

(Surah al-Hujurat: 13)


Sebagai penutupnya, ayuh rakan-rakan semua, baiki diri kita, tinggalkan persengketaan. Raikanlah persamaan dan terimalah perbezaan. Tiada gunanya kita bergaduh sesama kita. Ada pelajar di Indonesia, dan ada pelajar di Malaysia. Ada pekerja di Indonesia, dan ada pekerja di Malaysia. Tidak cukupkah untuk kita berdamai?

Ayuh kita majukan diri kita setapak lebih ke hadapan. Hulurkan tanganmu wahai sahabat-sahabat Malaysia dan Indonesia ku, kita bergerak memerangi Israel, membebaskan Palestin. InsyaAllah!!!~


p/s : Tahniah kepada pasukan Malaysia yang berjaya memenangi Piala AFF Suzuki dengan agregat 4-2. Kepada pasukan Indonesia, pasukan anda telah bermain dengan sangat-sangat bagus, tetapi mungkin rezeki berpihak kepada Malaysia pada tahun ini. Semoga kita dapat bersaing dengan sihat lagi di masa akan datang!




-freezer_always-
-12:21 a.m.-
-30/12/2010-

0 comments :

Post a Comment