Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Monday, December 13, 2010

Jadilah Kita Sang Pemburu...

11:42 PM Posted by freezer_91 No comments

-picture by =WiciaQ of devianart-

Islam.

Tak mungkin akan tertegaknya Islam di atas muka bumi ini tanpa perjuangan daripada para penganutnya. Tak mungkin akan tertanam tanpa siraman darah para mujahid dan mujahidahnya. Itulah yang diajar oleh guru kita, Nabi Muhammad S.A.W. Keberanian mempertahankan agama adalah segala-galanya bagi diri kita. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Hadirnya kita ke atas muka bumi ini adalah dengan satu tujuan utama iaitu beribadah kepada Allah S.W.T. Ayuh kita kembali ke zaman Perang Uhud. Banyak pengajaran dapat kita singkap di sebalik kekalahan itu.

Sehari sebelum perang Uhud, Rasulullah S.A.W. bersabda di atas mimbar :
“Demi Allah yang menggenggam jiwaku, setiap orang yang terbunuh di jalan Allah pasti datang pada hari Kiamat seperti keadaannya ketika terbunuh di dunia. Warnanya warna darah, tapi baunya bau minyak kesturi”.

Dalam hadis lain pula Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah berfirman kepada para syuhada pada hari Kiamat. Siapa yang membunuh kalian?” Mereka menjawab, “Musuh-musuh-Mu”. Dia berfirman lagi, “Mengapa kalian dibunuh?” Mereka menjawab,”Kami terbunuh karena perjuangan di jalan-Mu. Dia berfirman, “Aku telah mengampuni kalian”.

Setiap yang berlaku ada baik dan buruknya. Perang Uhud. Lihatlah bagaimana keadaan para pejuang zaman dahulu dan zaman sekarang, dan apa yang telah kita berikan kepada Islam sepanjang hidup di atas muka bumi-Nya?

Mana para syuhada hari ini?

Mana para pahlawan Islam hari ini?

Mana peranan kita dalam menyebarkan Islam hari ini?

Mana darah? Mana harta? Mana waktu? Mana pengorbanan? Mana pergi?

Boleh saya katakan kosong. Kosong. Kosong. Mana pergi umat-umat Islam? Melancong? Melencong?...

Sehari sebelum bermulanya perang Uhud, Rasulullah S.A.W. bermusyawarah dengan para sahabat. Beliau mengumumkan hendak memerangi Abu Sufyan dan kaum musyrikin. Beliau bertanya kepada para sahabat, “Bagaimana pendapat kalian? Apakah kita memerangi mereka di lorong-lorong kota atau kita halang mereka di gunung Uhud”.

Orang-orang tua menjawab, “Wahai Rasulullah, lebih baik kita tetap di tempat, bertahan di lorong-lorong dan rumah-rumah kita. Kalau mereka masuk kota, kita perangi mereka”. Baginda pun setuju.

Tetapi, baru selesai ucapan itu, para sahabat yang berusia muda, yang berjumlah lapan puluh orang, keluar, lalu menghunus pedang dan memasang besi pelindung di kepala. Kemudian mereka melantunkan nasyid di luar masjid dengan suara lantang. ”Kami adalah orang-orang yang berbaiat setia kepada Nabi Muhammad untuk berjihad selama kami hidup”, jelas mereka.

Kemudian, seorang pemuda yang berusia sekitar dua puluh tahun berkata nyaring, ”Wahai Rasulullah, pimpinlah kami ke Uhud. Jangan halangi kami masuk syurga! Demi Allah, saya pasti masuk syurga”. Mendengar gelora penuh semangat itu, Rasulullah bangkit. Setiap bulu di tubuh baginda berdiri. Setiap titis darah baginda bergejolak. Baginda lalu berdiri. Baginda mengumumkan bahwa pintu-pintu syurga telah dibuka dan Allah telah menempatkan diri kepada hamba-hamba-Nya .

“Dengan apa kamu masuk syurga?”, tanya baginda kepada para pemuda itu.

Para pemuda itu menjawab, “Dengan dua hal. Pertama, saya mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan saya tidak lari dari medan pertempuran”. Kemudian air mata Rasulullah S.A.W. mengalir. Dengan mengangkat kedua tangan baginda bersabda, “Kalau kamu jujur kepada Allah, Dia pasti akan membalas kejujuranmu”.

Allah berfirman :
“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keridhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”.
(al-Ankanbut : 69)

Kemudian, Rasulullah S.A.W. pun berangkat ke medan peperangan. Sebelum perang bermula, beliau mencabut pedangnya dan bertanya, “Siapa yang mahu memegang pedang ini?”. “Kami semua ingin memegangnya”, jawab para sahabat. Abu Dujanah bertanya, “Apa hak pedang ini, wahai Rasulullah?”, tanyanya. “Haknya adalah menebaskannya kepada kaum kafir hingga ia bengkok”, tegas Rasulullah.

Pernah anda mendengar ada pedang yang bengkok, kerana digunakan untuk membunuh musuh? Ya, ada, dengan telapak tangan sahabat-sahabat Muhammad Rasulullah S.A.W. Kemudian Abu Dujanah mengambil pedang itu, sambil bersyair.

“Akulah yang berjanji kepada kekasihku,
Tatkala kami berada di gunung di antara rumpun kurma,
Untuk selamanya tidak berdiri di barisan belakang,
Aku membunuh dengan pedang Allah dan Rasul.”

Kemudian Abu Dujanah menggunakan pedang untuk berperang dan membunuh orang-orang kafir, hingga pedang itu bengkok. Lalu, dia mengembalikan pedang bengkok kepada Rasulullah S.A.W. Para pahlawan lahir bermunculan.

Pintu-pintu syurga dibuka. Para malaikat ikut meramaikan pertempuran. Pintu-pintu langit dibuka, menurunkan tentara yang dikomandani Jibril as. Dan turun di atas gunung Uhud.

Lihatlah, betapa mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka sendiri. Untuk menjadi sang pemburu. Bukannya pemburu jalanan dan murahan. Tetapi pemburu syurga, pemburu tertinggi di kalangan pemburu.

Sekarang...

Di mana agama kita? Di mana cita-cita kita untuk menggapai syurga? Di mana letaknya ukhuwah sesama muslim?

Sudah lenyapkah Islam dari muka bumi ini?

Ataupun umatnya yang telah lenyap?

Teringat kata-kata saifulislam ketika dia merantau ke negara barat, "Apabila aku pulang ke negara asalku, aku melihat muslim tanpa Islam, sedangkan di luar, aku melihat Islam tanpa muslim".

Hilangnya pembawa Islam. Siapa lagi kalau bukan kita semua yang ingin membawanya. Tidak teringinkah kita berada dalam generasi rabbani. Generasi yang amat indah. Ya, anda katakan anda ingin hidup di dalam generasi biasa-biasa, dan seperti Hilal Asyraf berkata, "Sebab biasa-biasalah, kita kena menjadi luar biasa".

Tidak beruntungkah kita? Tidak beruntungkah kita berada di dalam masyarakat asing? Tidakkah kita ingin menjadi orang dagang?

Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa Rasulullah pernah bersabda:
"Ummat akhir zaman kelak yang berpegang dengan Islam adalah seumpama menggenggam bara api. Kerana kesukaran sebegitu, Allah janjikan pahala satu amalan mereka seolah-olah sama dgn pahala 50 orang. Para sahabat r.a. bertanya kepada Rasulullah, "50 dari kalangan kami atau kalangan mereka?" Jawab Rasulullah, "50 orang dari kalangan kamu (dari kalangan para sahabat)".

Lihatlah anda semua. Bangkitlah. Berjuanglah. Lontarkan kesemua kudrat kita untuk membangunkan Islam. Ingat, Islam tidak sesekali memerlukan kita, tetapi kita yang akan memerlukan Islam. Kita yang akhirnya akur dan sujud ke arah kiblat yang satu.

Adakah anda berfikir tanpa anda Islam tidak akan menang?

Adakah agama ini akan lenyap dari muka bumi atau kebenaran yang menang?

Tidak ingatkah kamu kepada janji Allah bahawa Islam tetap akan menang walaupun dengan anda ataupun tanpa anda. Jadi, terpulang kepada anda, ingin menyertai Islam ataupun sebaliknya. Pilihlah.

Sudah pasti kemenangan Islam yang akan datang. Tetapi bukan kepada mereka yang menjadikan dunia sebagai Tuhan mereka. Kemenangan akan datang kepada mereka yang menjadikan dunia sebagai jambatan ke syurga. Dunia ini hanya akan bermakna jika digunakan untuk akhirat.



-freezer_always-
-14/12/2010-
-1:32 a.m.-

0 comments :

Post a Comment