-picture by *m0thyyku of deviant art-
Tadi baru lepas membaca salah satu blog saudara saya. Dan di dalam post nya dimasukkan salah satu ayat iaitu:
“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Surah Al-A’raf ayat 7.
Cubalah kita menghayati maksud ayat ini. Tetapi pernahkah kita membuka al-Quran untuk melihat ayat itu sendiri. Untuk membaca ayat itu sendiri. Sebenarnya ayat di atas adalah surah Al-A'raf ayat 96.
Bukanlah saya ingin memandang rendah kepada pemilik blog tersebut. Namun, saya ingin mengajak para pembaca untuk bergerak seminit ke belakang. Cuba anda semua fikirkan dan simpulkan bahawa semua yang anda akan dapat dari mana-mana blog adalah ilmu dan bukannya sekadar bahan bacaan.
Pernahkah anda terfikir bahawa anda membaca post terbaru dari satu blog ke satu blog itu anda akan belajar benda yang baru. Anda mendapat bahan pelajaran baru hari ini. Tetapi, kita tidak seharusnya hanya membaca sahaja. Kita hendaklah mengkaji juga. Ini adalah kerana manusia bukanlah sesempurna yang kita sangkakan.
Akan ada kesilapan di mana-mana walaupun pada tanggapan kita itulah yang paling terbaik. Oleh itu, kita sebagai saudara hendaklah saling membetulkan.
Manusia tidak sempurna. Tetapi, tidak mustahil kita akan sempurna. Kerana kesempurnaan orang lain akan melengkapi ketidaksempurnaan kita. Dengan demikian, kita akan mendapat hasil yang sangat bagus. Kerana Allah telah berfirman :
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh".
(As-Saff : 4)
Ilmu hatta boleh dituntut dengan budak sekecil 5 tahun. Mungkin kesilapan kita ditegur oleh mereka. Itu semua tidak mustahil. Terimalah segala ilmu dengan tangan yang terbuka. Tepuk dada, tanyalah selera kita, inginkan ilmu ataupun tidak?
Memetik kata-kata Imam Hasan al-Banna, Islam akan maju jika kita dapat menguasai 3 perkara iaitu:
1)Akidah
2)Ukhuwwah
3)Wasilah
"...Dan barangsiapa yang terpelihara dari kebakhilan dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung."
(At-Taghabun : 16)
Akidah adalah sesuatu yang sangat penting kepada kita dalam kehidupan seharian. Oleh itu, untuk memantapkan akidah, perlunya ukhuwwah. Seorang kawan sesungguhnya melihat kawan-kawannya yang lain lebih utama daripada dirinya kerana jika dia tidak bersama mereka, maka dia sekali-kali tidak mungkin bersama orang lain, sedangkan mereka jika tidak bersamanya mereka akan bersama orang selainnya. Serigala hanya memakan kambing yang tersisih dari kawanannya.
"Orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain..."
(At-Taubah : 71)
Perkara yang ketiga adalah wasilah. Apa yang dimaksudkan dengan wasilah di sini adalah kemajuan teknologi kita sebagai umat Islam. Untuk memajukan teknologi, ilmu diperlukan. Di sini kita dapat melihat bahawa ilmu itu datangnya daripada Allah, yakni Pencipta Ilmu itu sendiri.
Kebergantungan kepada Allah itu adalah amat penting. Marilah kita semua sujud menyembah diri kita yang hina. Bukan sahaja perbuatan sujud itu. Tapi biarlah jiwa dan raga kita turut sujud menghina diri di hadapan Allah semoga kita sentiasa mendapat ketenangan untuk menuntut ilmu.
Ketenangan hanyalah datang apabila kita kembali kepada Islam. Ketenangan hanyalah datang apabila kita kembali kepada al-Quran. Dan, ketenangan hanyalah akan datang jika kita kembali kepada Pencipta Ketenangan tersebut. InsyaAllah.
-freezer_always-
-3/12/2010-
-2:17 a.m.-
0 comments :
Post a Comment