Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Monday, December 27, 2010

Perlukah Aku Menjadi Genius?

8:03 AM Posted by freezer_91 No comments

-a picture by ~Wisesam of deviantart-


Malam yang sangat tenang. Selesai sahaja mengulangkaji Organic Chemistry, Afir terus melangkahkan kakinya ke kamar Azman, seorang ikhwah yang sama-sama ditarbiyyah bersamanya. Pintu bilik diketuk. Salam diberi. Namun, tiada jawapan diberi. Sekali lagi perbuatan yang sama diulangi, pintu diketuk dan salam diberi. Masih lagi tiada jawapan.

'Mana dia ni? Tidur ke?'

Pintu tidak berkunci. Afir terus melangkah masuk tanpa disedari oleh Azman. Lalu terlihat Azman termenung jauh. Dia sedang melihat kertas jawapan Test 2 Differential Equation yang baru sahaja diberikan oleh pensyarah petang tadi. Dia melihat kertas itu jauh ke dalam sehinggakan ditembusinya kertas itu. Afir boleh meneka kenapa sahabatnya menjadi sedemikian.

Afir menggeleng kepala. Azman dihampirinya. Salam diberikan sekali lagi betul-betul di sebelah telinga Azman. Masih lagi tiada respon yang diberikan.

'Eh, Man ni dah mati rasa ke? Sampai salam aku pun tak dijawabnya'.

Afir semakin geram. Didekatinya Azman lalu memekik,

'Assalamualaikum!!!!!', pekik Afir.

Azman sedikit terlompat. Terkejut. Segera menoleh ke arah Afir.

'Ishh!!!Kalau masuk bilik orang bagila salam dulu!', Azman memarahinya sambil sebelah tangannya dihalakan ke pipi untuk mengesat kebasahan.

'Salam apekebendanya lagi. Aku bagi salam sebelah telinga kau pun kau tak dengar! Khusyuk mengalahkan orang solat!'

Azman hanya mendengus. Kembali melihat kertas jawapannya hinggakan kalau boleh, hendak sahaja kertas itu hilang dari pandangannya. Azman menangis, cukup ringkas percaturan yang dibuat oleh Afir. Dia tahu sebabnya. Peristiwa petang tadi jatuh ke benak fikirannya kembali.

Pukul 4 petang tadi...

'Afir...39/40'

'Azim...40/40'

'Adam...40/40'

Pensyarah terus membacakan markah test 2 DE. Sebelum itu, Azman masih lagi bergelak ketawa, masih lagi boleh tersenyum, bergurau. Tetapi, setiba sahaja gilirannya,

'Azman...11/40', ujar pensyarah.

Senyum di bibir Azman terus hilang. Usai sahaja habis kelas, dia terus menghilangkan diri. Hilang di lautan pelajar yang rata-rata ingin kembali ke bilik masing-masing. Sewaktu makan malam tadi pun Azman tidak keluar dari bilik walaupun sudah berpuluh kali pintu biliknya diketuk.

'Aku bodoh, Fir', keluhan Azman menyedarkannya.

'Dahla aku anak pesisir pantai, main-main pula, patutla markah aku rendah'.

'Bagi Adam, Azim, Khir, mereka semua tidak perlu mengulangkaji pun, mereka sudah berjaya, aku bodoh, Fir', titisan airmatanya terus menerus turun membasahi kertas jawapan.

Afir mencapai air 7up Revive yang baru sahaja dibeli sebelum datang ke sini tadi dan meminumnya. 'Oh, sejuknya, brrr, sejuk-sejuk', Afir bergurau. Tiada reaksi. Afir senyap, ingin mendengar segala keluhan Azman.

'Tak sesuai'.

'Test 2 hari itu, Adam tak memerlukan sejam pun untuk menyiapkannya dan mendapat markah penuh'.

'Tapi, walauapapun yang aku lakukan, aku masih lagi tidak boleh melakukannya, at least mendapat markah seperti mereka'.

'Belajar bersama-sama Adam, mengikut car-caranya belajar, mengikut segala perancangannya, sentiasa terlintas di benak fikiran aku,"Bolehkah aku menjadi sehebatnya satu hari nanti, non-stop Dean List, 4 flat setiap sem?". Tapi aku tahu itu semua tidak akan terjadi pada aku'.

Airmata terus menjadi saksi akan keluhan Azman itu. Teresak-esak dibuatnya.

'Betul semua yang kau cakapkan tu', Afir memulakan bicaranya.

'Adam boleh dikategorikan dalam kalangan genius alam, skillnya dalam kepimpinan sahaja boleh membuatkan dia seorang yang sangat genius'.

'Pada peringkat umurnya, menyelesaikan masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh pelajar final year dalam masa tidak sampai 15 minit, memang tidak boleh masuk akal'.

Teringat dia akan peristiwa genius Adam. Adam, seorang genius yang dilahirkan dan tersesat di universiti ini gara-gara dia terlupa untuk mengisi borang ke luar negara. Pada minggu lepas, Afir sahaja ingin bergurau dan mengajaknya masuk ke kelas pelajar fnal year. Mereka masuk, dan nasib kami menjadi malang kerana Adam dipanggil oleh pensyarah untuk menjawab soalan di hadapan. Namun, soalan itu terlalu mudah dijawabnya, yang sepatutnya mengambil masa lebih daripada 45 minit, dia hanya menyelesaikannya dalam masa 15 minit sahaja. Sejak dari hari itu, dia terus menjadi bualan warga kampus. Pelajar 1st year yang tersangat genius.

'Jika dibandingkan dengannya, kau hanyalah seorang insan biasa, sama seperti orang lain', Afir menyambung perbualannya.

'Mungkin, mungkin jika kau berusaha dengan lebih gigih lagi, kau akan menjadi seorang yang lebih baik sedikit dibandingkan dengan insan biasa, aku rasa'.

'Tapi, bukankah itu sudah cukup?', Afir bertanya.

Soalan itu menimbulkan keraguan pada muka Azman. Ditenungnya muka Afir dengan penuh tanda tanya. Mana mungkin itu sudah memadai, dia tidak mahu hanya lebih sedikit sahaja dari orang biasa, tetapi, dia ingin menjadi manusia yang setaraf dengan Adam, Azim, dan mereka-mereka yang dianggap genius. Azman menantikan jawapan.

'Huh?', Azman pelik.

'Mengetahui batas kebolehan kita sendiri, dalam maksud lain, memahami apa yang kau sememangnya berupaya untuk membuat sesuatu itu'.

'....'

'Tidak kiralah apa pekerjaan sekalipun, belajar mahupun bekerja, orang yang betul-betul mendokong situasi terebut adalah mereka-mereka yang dianggap orang biasa di kalangan orang genius'.

'....'

'Tapi, tugas yang ditanggungjawabkan kepada orang biasa ini, tidak kurangnya dibandingkan dengan mereka yang genius. Walaupun kita melihatnya hanyalah biasa, kita tidak pandai, kita tidak mendapat fullmark, tidak boleh menjawab soalan dalam masa yang singkat, namun, itulah kelebihan yang ada pada diri kita sendiri'.

'....'

'Itulah sesuatu yang membuatkan kita lebih kuat dibandingkan dengan si genius. Itulah satu perkara unik yang ada pada diri kita. Kesabaran yang tinggi. Kegigihan yang tinggi'.

'Hurmm...', Azman mengeluh.

Afir bangun dari tempat duduknya dan membelakangi Azman.

'Hanya kita sendiri yang boleh jujur dengan diri kita sendiri. Dan aku tahu, kau juga boleh melakukannya. Terimalah diri kita ini seadanya, kerana tugas kita lebih berat daripada yang genius. Berdirilah, bukakanlah semangat kita, tunjukkan bahawa kita juga boleh berjaya. Bahkan lebih lagi.'

Afir melangkah untuk keluar dari bilik. Dia terdengar keesakan tangisan rakannya itu semakin kuat. Dibiarkannya sahaja begitu.

'Pernah Adam Smith mengatakan bahawa keputusan yang terbaik dalam sesebuah kumpulan akan keluar apabila semua ahli kumpulan melakukan yang terbaik kepada dirinya sendiri. Tetapi bagi aku, kata-kata itu tidak pernah lengkap, kerana keputusan yang terbaik dalam sesebuah kumpulan akan keluar apabila semua ahli kumpulan melakukan yang terbaik kepada dirinya sendiri dan juga kumpulannya.'

Afir menguak pintu bilik dan meninggalkan Azman keseorangan. Menangis semahu-mahunya. Ditelan kegelapan malam...



-freezer_always-
-9:28 a.m.-
-27/12/2010-

0 comments :

Post a Comment