Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Tuesday, December 7, 2010

Wujudkah Jalan Yang Mudah?

10:39 PM Posted by freezer_91 1 comment

-picture by =GxMew of devianart-


Sedang aku khusyuk membaca surat khabar, terdengar perbualan dari meja sebelah kananku.

"Syim, tolong 'adjust' anak aku masuk sekolah kau. Kau kan kabel besar sekolah tu". Suara itu kedengaran.

"InsyaAllah, nanti kau tolong mesej no id peperiksaan anak kau".

Saya tiba-tiba terfikir. Begitu mudahkah untuk masuk ke sekolah berasrama penuh? Jadi apa bezanya dengan sekolah biasa? Ya, inilah manusia. Mudah akan tetap menjadi pilihan walaupun perkara itu salah. Ingatlah, niat tidak akan sesekali menghalalkan cara kita melakukannya. Bahkan, niat yang baik akan tetap dianggap sebagai buruk jika cara melakukannya buruk. Cuba kita ambil contoh, seorang pereka telefon bimbit ingin mereka suatu kelainan pada telefon yang diciptanya. Tetapi jika telefon itu hanya mengubah sedikit model telefon lain dan menjualnya dengan harga yang murah, itu dinamakan kegagalan dan bukannya kejayaan.

Kita lihat di sini, apa gunanya kita masuk sekolah berasrama penuh jika kita sememangnya tidak layak untuk masuk ke situ? Mungkin ramai orang kata bahawa inilah zaman sekarang. Ramai yang menggunakan kabel(orang dalam) untuk masuk ke sekolah berasrama penuh dan sewaktu dengannya. Jika kita tidak guna kabel, jangan harap nak dapat masuk.

Saya membalas, jika dah tahu tiada harapan nak masuk, kenapa mahu masuk juga, bukankah itu namanya tidak adil. Ramai lagi orang yang lebih layak menggantikan anak anda. Tetapi, oleh kerana anak anda masuk dengan menggunakan kabel, orang yang lebih layak tersebut akan terbiar begitu sahaja dan hanya masuk sekolah harian biasa. Bakatnya yang terpendam tidak dapat diasah dengan baik. Bukanlah ingin mengatakan bahawa sekolah harian biasa tiada kelebihan tetapi bukankah di Malaysia, sekolah berasrama penuh itu lebih banyak prasarana? Maka hilanglah seorang pemimpin yang berkaliber yang bakal memimpin negara ini kerana tidak mendapat didikan yang sebenarnya.

Ya, dunia semakin maju, begitu juga dengan manusia. Manusia semakin hari semakin pandai. Jadi, jika kita tidak hendakkan cabaran, saya katakan anda seorang yang mundur dari semua segi termasuklah dari segi pemikiran terutamanya. Memang peluang untuk masuk ke sekolah yang ternama terlalu susah, tapi cuba anda bayangkan jika kita mendapatnya dengan usaha kita sendiri. Betapa puasnya hati ini.

Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, ketika saya menghadiri temuduga PETRONAS dan JPA. Ketika temuduga dengan JPA, saya yakin saya sudah melakukan dengan terbaik, saya cuma berharap untuk dapat apa yang saya inginkan. Dua bulan selepas itu, keputusan diumumkan dan saya tidak terpilih. Lalu, saya diberitahu bahawa ada kabel yang boleh menolong saya untuk dapatkan biasiswa JPA tersebut. Saya menolaknya dengan tekad walaupun ada rasa kesal di dalam hati. Saya dalam dilemma ketika itu. Temuduga seterusnya adalah dengan PETRONAS, saya tetap bersungguh-sungguh dalam melakukannya, tetapi setelah melihat pencabar, harapan saya sedikit turun. Namun, saya mendapat panggilan dan diberitahu bahawa saya mendapat biasiswa PETRONAS.

Saat itu, rasa syukur saya kepada Ilahi tidak mampu saya ungkapkan. Betapa gembiranya saya apabila mendapat biasiswa itu dengan usaha saya sendiri. Nah... tidakkah kita inginkan suatu perasaan sebegitu rupa? Suatu nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat kegembiraan.

Jika kita hanya berharap orang akan terus menolong kita, kita tidak akan ke mana-mana. Kerana kita akan sentiasa bergantung harap kepada orang lain untuk melakukan kerja kepada kita.

Dalam dunia ini tiada jalan yang mudah wahai sahabatku. Dunia ini penuh dengan cabaran. Dan cabaran itulah yang membawa kita ke hapadan dan lebih mendekatkan kita kepada Pencipta kita. Ingatlah bahawa Allah tidak akan sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya melainkan hamba itu sendiri yang menzalimi dirinya sendiri. Jika benda itu yang terbaik untuk kita, maka kita memang layak untuk mendapatkannya walaupun tidak menggunakan orang dalam.

Jika kita asyik mengambil jalan yang mudah, cabaran pun sudah tiada, maka hidup hanyalah akan berterusan begitu sahaja tanpa kemajuan. Cabaran menjadikan kita manusia yang bertamadun. Teknologi yang kita ada hari ini adalah kerana mereka zaman dahulu mencabar diri mereka sendiri untuk berjaya.

Kita ambil contoh Thomas Edison, pereka lampu. Dia berjaya mencipta lampu setelah gagal sebanyak 10,000 kali. Tapi komennya adalah, "I have not failed. I've just found 10,000 ways that won't work.". Betapa berbezanya cara pemikiran dia dan kita semua. Apa yang kita tahu hanyalah apabila kita gagal, kita akan terus gagal selama-lamanya.

Ingatlah, perkara sebegini tidak seharusnya wujud di dunia masa kini. Kerana ia akan menjejaskan kemajuan negara. Kita lihat sahaja untuk mendapatkan projek kerajaan sekarang, jika seseorang itu hanyalah insan biasa, tiada pangkat dan tiada kaitan dengan orang kenamaan, maka, hampir mustahil projek itu akan diserahkan kepada orang tersebut walaupun dia sememangnya orang yang paling layak untuk mendapat projek itu. Jadi, berlakulah rasuah merasuah di antara mereka.

"Dan manusia hanya memperoleh apa yang diusahakannya"
(An-Najm : 39)

“Siapa yang bertawakal kepada Allah, maka Dia yang pencukupkannya”
(At-Talaq : 3)

“Sesungguhnya Allah itu menyintai orang-orang yang bertawakal”
(Ali-Imran : 159)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa jika kita hendakkan sesuatu, berusahalah bersungguh-sungguh dan berharaplah kepada Allah dan bukannya manusia. Adakah kita sudah tidak yakin dengan keputusan Allah? Bagaimanakah seorang yang berharap ingin berharap kepada seorang yang berharap juga? Tidak mungkin perkara itu akan berlaku. Di dalam konteks ini, kembalilah kita kepada Allah S.W.T.

Kerana apabila kita kembali kepada-Nya, kita akan merasakan bahawa kita telah melakukan yang terbaik. Dan sekiranya kita tidak mendapat apa yang kita inginkan, hati ini tidak akan merasa sedih kerana kita tahu Allah tetap bersama-sama kita. Dan Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah : 216)

Ingatlah wahai sahabatku, tiada jalan yang selamanya lurus di atas bumi ini, kerana jalan itu tetap membelok yakni ke kiri ataupun ke kanan. Sematkanlah semangat perjuangan di dalam hati kerana itulah yang akan membawa kita sampai ke destinasi. InsyaAllah...



-freezer_always-
-08/12/2010-
-2:44 a.m.-

1 comment :

  1. saya rasa nak nangis baca artikel encik.Awal pagi ini disaat hamba Allah ramai dibuai mimpi yg enak2 saya merawati perasaan hampa sy dengan mengaji dan bermohon pada Allah agar ada rezeki untuk anak lelaki tunggal sy ke MRSM pula setelah gagal ke SBP Kementerian.
    Kekecewaan sy kerana anak sulong saya gagal mendapat tawaran ke sekolah2 tersebut pada tahun lepas masih berbasi lagi.Kini,Semakan secara on line sebentar tadi permohonan anak kedua ke SBP pula gagal.
    Kedua-dua anak saya mendapat 5A.Sy sangat berharap agar anak kedua sy berjaya kerana selain aktif,dia juga ketua pengawas dan tokoh murid di sekolahnya.
    Kawan sy berpendapatan lebih tinggi dari sy dua anaknya berjaya ke sbp.
    Anak ketiga sy juga pandai,tahun depan 11tahun.Dia hanya skali sahaja mendapat no 2 itu pun ketinggalan 1 markah selain itu dia hanya mendapat no 1 stakat ini.
    Dulu sy slalu memberi smangat pd anak2 tetapi dgn fenomena yg berlaku ini sy menjadi patah hati...
    Sy hanya kakitangan kerajaan biasa dan tidak menggunakan sbarang kebel...Tetapi sy merasa sebal jika tempat yg spatutnya diisi oleh anak sy diambil oleh org lain dgn cara x adil...
    Hanya sy berserah dan berdoa pd Allah ketidak adilan ini akan ada ganjaran akhirnya!.

    ReplyDelete