Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Sunday, September 27, 2009

bAnDaR iMp1aN....

12:55 AM Posted by freezer_91 2 comments
Esok dah nak balik ke UTP. Mungkin post saya tidak ter-update 2 3 hari. Kalau diizinkan Tuhan saya akan terus meng-update. InsyaAllah..=))


Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. "Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman purba?" detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan tisu. Tisu itu kemudian dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik..tolong kutip tisu itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya. Dia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken, orang besar negara ini. "Pakcik, biarlah saya tolong pakcik untuk mengutipnya, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken membetulkan tali lehernya. "Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu mata,tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Every man has its ow price". detik Ir. Sulaiman Akhlaken. Namun, Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang canggih. Ada helikopter bergerak di udara.Bermacam-macam jenis helikopter berterbangan sekaligus. Bas sudah tidak kelihatan ke sana sini. Namun, yang adanya adalah bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka, semuanya kuno. "Ah, di mana aku sekarang ini", gerutu hati Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken.

"Hoi budak kecik!!Aku dimana sekarang?!!" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang hatinya tatkala melihat raut wajah budak itu. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat dia menjawabnya,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Lamborghini, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak.Serban mereka berwarna hitam dan berjalur biru.

"Assalamualaikum. Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Oleh sebab itu pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali," kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya terlalu tinggi.

"Apa? Dia nak marahkan aku?," detik hatinya. "Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat
apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya angkuh. "Pakcik, kami bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. "Oh, oh, maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" tanya pegawai itu pula. "Aku yang gila, atau dia yang gila?" detak hati Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah dan tak ada yang pelik. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula iaitu Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Crocodile. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang
status dan kejayaan. Dia yang kolot, dan dia jugalah yang ketinggalan zaman.

" Wahai orang kolot, pakaian aku adalah pakaian pemimpin. Aku orang besar di negara ini. Aku dah mengelilingi dunia dengan pakaian ni dan semua orang memandang tinggi padaku".

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam masih lagi belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar2nya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang2 bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti
Darul Taqwa ini."

Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken kebingungan."Di mana aku sebenarnya?" dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa tersebut dan budak kecil itu. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain dah tak ada. Ke mana perginya KLCC, KL Tower. Dia sendiri pun tak tahu.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini Jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam yang dahulunya seorang penoreh getah. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan zahir dan batin bandar ini".

"Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan2 itu terus menyerang benak pemikiran Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken.

"Pakcik, kami rayu kepada pakcik agar membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan akhirat".

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an.

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa Neraka amat pedih. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Dia melarikan diri sekuat-kuat hatinya. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Dia terlepas. Lega, dahaga, dan lapar mula menguasai dirinya. Dia mesti makan dan minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar bunyi suara seseorang dari speaker yang berada di tepi-tepi jalan.

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Dr. Azam, hartawan besar berada di Jalan Istiqamah. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken, orang besar di bandar Kuala Lumpue itu tidak akan mencemar duli untuk menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya
berserban dan berjubah.Matanya masih tidak dapat menerima lagi apa yang dilihatnya.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk perempuan. Di sini untuk lelaki". kata pelayan restoran tersebut. "Ceh! Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada
perempuan. Apa maknanya semua itu. Siapalah seorang perempuan tanpa lelaki". Mukanya dicemekkan kepada pelayan. "Ada tak restoran lain yang mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni".

Lelaki itu tersenyum lalu berkata,"Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Mohamad Amir, pemimpin Darul Taqwa ini telah menaikkan taraf wanita. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan", terangnya.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni". "Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada seorang pun yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu. Subhanallah...", keluh tuan restoran itu. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Ah! Apa yang aku peduli semua itu. Janji perut aku diisi. Nasi beriani sepinggan!"ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya, apa peliknya?". "Baik, tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala
makan berjemaah. Tuan makan seorang?" tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia bertambah geram, direnungnya ke hadapan. Tidak ada sebuah pun meja makan, yang ada hanyalah hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang! Jijiknya! Manusia jenis apakah mereka ini! Aku tetap aku! Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas. "Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki." kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken makan dengan seleranya. Restoran itu berhawa dingin lengkap dengan peralatan serba canggih.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh", ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja. Melihatkan dari raut wajahnya, seperti orang yang baru kehilangan share saham yang amat bernilai.

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken cuba untuk mendengar perbualan mereka. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit. Malang nasib ana. Ana tunggu
lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana", keluhnya. "Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka sepatutnya membantu kita. Tolonglah terima sedekah kita ni. Susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahla nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita. Ya Allah, apakah nasib kami ini",keluh sahabat lelaki itu tadi. "Kalaulah kita hidup di zaman nenek moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementeriannya. Saya nak melabur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan.

Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken bertambah pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan, berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ", kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah bercampur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!"

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini?" suaranya semakin nyaring. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 90-an dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa
menghidapnya. Batalkan saja pesanan saya tadi, banyak sangat cakap, entah kedai jenis apa ni. Langsung tak mahu untung. Saya perlukan hiburan sekarang. Di mana boleh saya dapati?" tanyanya.

"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma." Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam-macam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kerumitan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre
Cardinnya ia masih kelihatan kolot. Entah di mana falsafah moden Datuk Ir. Sulaiman Akhalaken. Pada pakaiannyakah, atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar-"KHAUF". Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu:

MATI ITU TERLALU SAKIT;
ALAM BARZAKH YANG PASTI;
MIZAN NOKTAH PENYESALAN;
IZRAEL DATANG TIBA-TIBA

Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya.

Jenis lagu pakah ni? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer:'RAJA'. Kemudian tercatatlah tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti...

FIRDAUSI MELAMBAIMU;
DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA;
KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI

Kepala datuk Ir. Sulaiman Akhlaken makin pening memikirkannya. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke? Lady Gaga ke, Eminem ke, kemana perginya artis2 yang hot itu", tanyanya kepada seorang anak muda berjubah biru di sebelahnya. "Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Paling hangat di kalangan anak2 muda". "Ya, ya saya setuju," balas Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Telinganya ditumpukan pada speaker di restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi negara asing itu. Ayat suci Al-Quran bergema...

"Eh, ni suara orang mengaji". "Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya", kata pemuda berjubah biru itu sambil matanya ditutup untuk menghayati lagu tersebut. Kemudian getaran suara bergema....

Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta.......
stanza hati merindu Ilahi!


Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken tak tahan lagi. Ia mengeluh kebencian dan pergi ke kaunter bayaran. "Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami
halalkan sajalah". Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken menjadi semakin geram. Dia berkata "Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit jenis ini sudah tidak wujud lagi, yang ada sekarang hanyalah kad kredit bank2 Islam sahaja, kami halalkan sajalah." "mana boleh! Pantang saya jika keturunan saya meminta sedekah. Saya ada harta simpanan berjuta-juta di dalam bank. Takkan la saya kena bawa semua itu barulah awak percaya saya ni bukan orang miskin! Nanti kena curilah harta saya itu!" " Darul Taqwa tak ada pencuri tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka". ujar cashier tersebut.

"Sudah!! Aku tak nak dengar semuanya. Makin lama aku di sini makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Dia lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar, semua pandangannya menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini dapat mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Kapal terbang sekarang sudah tidak ada Air Asia bahkan bernama 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT'. Apa maksud nama itu. Betapa hodoh dan buruk nama tersebut! Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :"KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Meluatnya! Bagila yang seksi2 sikit! Di jalan2 raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek sesama sendiri.

Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken tiba2 menjerit. Tekanan dalam jiwanya tentang apa yang dihadapinya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus bak gunung berapi.

"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk! Ada berita buruk!" Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken terbangun. Mujurlah semua itu hanyalah mimpi semata2. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya pada hari itu. "Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? " tanya Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. "Tidak, rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya".

"Habis, mereka mahu apa?"
"Mereka mahu Islam, Datuk!"
"Islam? " keluh Datuk Ir. Sulaiman Akhlaken. Digosok-gosok lagi matanya. Adakah dia benar2 kembali ke zaman sekarang.

ISLAM adalah tertinggi...
tiada yang lebih tinggi melainkan ISLAM...
ISLAM itu agama Allah...
agama Allah PENYELAMAT UMMAH...
maka

ISLAM PENYELAMAT UMMAH...

semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada cerita saya di atas ni...maaf jika ada salah dan silap dalam menulis cerita ini..hu3...:p

mula pada 2:00 p.m. (25/09/2009)-->lps blk dari solat Jumaat..:p
siap pada 3:40 a.m. (27/09/2009)

2 comments :