Layakkah Aku Untuk Terus Berada Di Atas Jalan Ini?

Wednesday, January 12, 2011

Rosakkah Bahasa Blogger?

1:46 AM Posted by freezer_91 3 comments
-a picture by *GONE-EVERLONG of deviantart-



Bahasa melambangkan bahasa. Ringkas tetapi cukup mendalam maksudnya. Tanpa bahasa, tiadalah bangsa. Tanpa bangsa, hilanglah bahasa di dunia ini. Persoalannya, benarkah jika tiada bahasa, maka bangsa tersebut akan hilang? Jawablah dengan jujur. Ayuh kita lihat keluasan tatkala tibanya saat ini. Bagi saya, memang tanpa bahasa, bangsa tersebut akan terjejas. "Terjejas" dan bukannya "lenyap".

Seperti yang saya katakan, perlunya keluasan di sini. Sekarang jumlah blogger sudah mencapai berjuta-juta orang. Semuanya dengan hal-hal masing-masing. Ada yang pro kerajaan, anti kerajaan, semi kerajaan, pendek kata, setiap blogger itu memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan ilmu yang berguna kepada para pembaca.

Blogger merosakkan bahasa? Apa cara? Menggunakan 'shortform'? Yg? Tlh? Kaw? Itu tidak boleh dianggap satu perkara besar selagi mana dia tahu untuk bertutur dalam bahasa ibundanya. Hilangnya ataupun rosaknya bahasa adalah di mana seseorang itu tidak tahu untuk bertutur dalam bahasa ibundanya. Meringkaskan perkataan tidak berkaitan langsung dalam hal-hal merosakkan bangsa.

Seorang profesor madya dari UKM kalau tidak silap saya pernah berkata bahawa, ringkasnya perkataan mampu membuat satu revolusi baharu terhadap Bahasa Melayu itu sendiri. Perkataan ringkas sudah tentunya tidak boleh sesekali menggantikan Bahasa Melayu yang rasmi tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menyingkatkan komunikasi sesama kita.

Alam itu terlalu luas untuk diteroka, janganlah menyempitkan diri berbahas tentang masalah bahasa yang tidak akan berkesudahan, kerana itu semua tidak penting. Apa yang penting adalah ilmu di dalam entri seseorang blogger tersebut. Sama ada berfaedah ataupun tidak, itu terpulang kepada individu yang membaca untuk menilainya.

Mungkin sahaja dapat membuka mata kita tentang isu-isu semasa. Mungkin sahaja dapat menajamkan akal fikiran kita. Mungkin sahaja entri tersebut kadangkala boleh menarik seseorang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Mungkin sahaja entri tersebut boleh menarik orang yang sesat kembali ke pangkal jalan. Semuanya mungkin, dan akan terus kekal dengan perkataan mungkin. Tetapi ingat, seorang individu itu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Ada yang minat untuk membaca entri bahasa ringkas. Ada yang menyampah untuk membacanya dan lebih suka kepada bahasa baku.

Bukankah lebih mudah jika orang yang meminati bahasa ringkas membaca blog yang menggunakan bahasa ringkas juga? Jangan pernah menyusahkan diri kita untuk memberikan ilmu kepada orang lain hanya kerana bahasa kita kurang baik. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, tapi itu semua tidak penting, apa yang penting adalah tekadnya kita untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai.

Pernah sekali Nabi Muhammad S.A.W. menghantar seorang sahabat ke Yaman. Nabi sentiasa berpesan kepadanya.

"Agama yang paling Allah sayang adalah agama yang benar dan yang memudahkan"
-Hadis riwayat Ahmad-

Apabila Nabi Muhammad S.A.W. menghantar wakilnya untuk menyampaikan ajaran Islam, Nabi sentiasa berpesan kepada mereka semua...

"Bagi senang cerita agama jangan jadi payah, bagi khabar gembira kepada  orang, jangan bagi orang lari"

Nah, itulah dia. Idola kita sepanjang zaman tidak pernah mengatakan bahawa untuk menyampaikan sesuatu ilmu itu memerlukan bahasa baku. Yang ada hanyalah bahasa yang mudah dan difahami! Sekarang ini, perjuangan kita untuk memperjuangkan Bahasa Melayu ataupun Islam? Ataupun  tanpa Bahasa Melayu itu, Islam akan hilang? Introspeksi diri kita sekali lagi, ayuh lihat, beruntungkah Islam mendapatkan Melayu jika beginilah sikap orang Melayu yang memperjuangkan benda yang sia-sia?

Saya ingin berkata di sini bahawa 'keringkasan' bahasa itu tidak pernah menjadi penghalang seseorang itu untuk menyampaikan ilmu. Bukalah minda, fikirkan keluasan, jangan sesekali merehatkan otak anda itu. Menurut kajian, manusia hanya dapat menggunakan 3-5% sahaja daripada kepandaian otak dan akal fikiran mereka. Bahkan, Einstein hanyalah dapat menggunakan 13% sahaja daripada otaknya. Ke mana yang selebihnya? 

Jadi, alangkah baiknya, kita hentikan perdebatan yang tidak berkesudahan dan cuba introspeksi diri. Cuba untuk menyampaikan ilmu dengan sepenuhnya. Cuba untuk menggunakan bahagian otak dan akal fikiran tentang perdebatan tersebut untuk meneroka alam ini dengan lebih luas. Janganlah berbangga kalau setakat dapat berpijak di ISS dengan kecanggihan orang lain, dengan menumpang, kita tidak akan ke mana-mana.

Ilmu itu akan terus berkekalan dan akan terus membuat pahala kepada kita sekiranya digunakan.

"Yang wajib kita perjuangkan ialah Islam, bukan bangsa. Perjuangan bangsa ialah perjuangan taghut yang Nabi tidak mengaku ummat. Apalagi kerajaan yang zalim yang tidak menghukum dengan hukum Allah, memakai undang-undang otak manusia. Sebab itu jika mereka mati di dalam perjuangan bangsa, Nabi tidak mengaku umat"
(Ustaz Ibrahim Libya, 1985)



-freezer_always-
-1.46 a.m.-
-12/1/2011-

Menjadikan malamku indah dengan cinta kasih sayang dari-Nya...

Tuesday, January 11, 2011

Menuju Puncak(Part 6)

8:00 PM Posted by freezer_91 No comments
-a picture by *damnengine of deviantart-




Aku lihat sebuah kereta berhenti di tepi jalan,

Jalan yang sungguh sunyi,

Logik akal mengatakan mustahil akan ada kereta berhenti di situ,

Aku melepasinya,

Aku melihat bahawa tayar depannya bocor,

Sekarang aku sudah jauh meninggalkannya,

Aku serba salah,

Adakah aku ingin berpatah balik untuk menolong kereta itu,

Ataupun biarkan sahaja,

Meskipun aku terus berfikir begitu,

Kereta aku terus meluncur laju,

Mengikut arus jalan,

Semakin jauh dari kereta itu,

Aku hanya dapat mendoakan sahaja bahawa kereta itu selamat,

Aku kesal atas kesombongan diriku ini,

Papan tanda “Sila Gunakan Gear Rendah”  tertera di situ,

Menandakan aku sedang menuru dari bukit,

Jalan yang aku lalui sekarang hanyalah dua hala sahaja,

Tanpa disedari ada satu kereta yang dari lorong bertentangan sedang memotong datang tepat ke arahku,

Aku menekan hon dengan kuat,

Memberi kesedaran bahawa perlakuannya itu adalah salah,

Kabus datang kembali,

Aku tahu bahawa inilah yang akan aku lalui,

Masalah yang sama...



bersambung...



-freezer_always-
-7.55 p.m.-
-11/1/2011-

Cuba untuk menembusi dinding itu...

Monday, January 10, 2011

Kita Semua Bodoh

11:23 PM Posted by freezer_91 2 comments
-a picture by ~paraNoidK of deviantart-

Detik 12 malam ini menjadi penentu usaha aku pada semester 1. Adakah turun ataupun naik keputusannya? Tetap menjadi persoalan lagi. Tatkala muhasabah diri, inilah gunanya ketenangan yang senantiasa kita selalu minta dari Allah. Untuk menempuh, menyelesaikan masalah dengan begitu tenang sekali.

Kita semua bodoh, pada mulanya. Namun, meningkatnya usia kita selari dengan meningkatnya pemikiran kita.  Ketika kita semua membangun, otak dan akal kita juga turut membangun. Dapat mengenal apa itu makanan, apa itu tahi. Tetapi, pernahkah kita terfikir, kenapa keputusan peperiksaan kita berlainan di antara satu sama lain? Sedangkan umur kita sama, otak kita sama matang, akal kita sama matang, tapi kenapa keputusan kita tidak pernah sama?

Ada yang 3.5 ke atas, ada yang dapat 2.5 ke bawah.

Persoalan yang penuh tanda tanya. Dunia, penuh dengan cabaran yang sentiasa datang kepada kita. Walau sejauh mana kita lari, secekap mana kita mengelak, cabaran itu tetap akan datang kepada kita. Namun, dapatkah kita melalui cabaran tersebut? Tatkala 'scholar' kita digantung, bolehkah kita menangani 'stress' yang keterlaluan? Kita sendiri masih belum tahu apa jawapannya.

Tapi, tenanglah wahai hati, tahulah bahawa Allah sentiasa bersamamu, walaupun dalam keadaan tenang, mahupun susah. Allah tidak pernah mengukur kejayaanmu untuk bersamamu, tetapi Allah akan tetap bersamamu setiap masa. Walau bagaimana jahat sekalipun kita pernah berbuat pada-Nya, masih belum terlambat untuk kita kembali kepada-Nya dengan sebenar-benar kembali.

Kadangkala kita jatuh dalam kehidupan ini, dan kita merasakan tiada kekuatan langsung untuk bangun kembali. Tatkala kita jatuh, kita berasa sangat malu, hinggakan hendak memakai topeng supaya tiada orang mengenali diri kita. Tatkala kita jatuh, kita hanya berlagak seperti orang biasa, seorang yang bersemangat waja, seorang yang penuh dengan ketabahan, walaupun pada hakikatnya, kita tidak pernah kembali bangkit untuk mendapatkan semangat yang baru.

Tetapi, kalau kita jatuh sekali, dan tidak ada upaya untuk bangun kembali, adakah diri ini akan dengan sendirinya bangun? Tidak sama sekali. Berusahalah, percayalah pada diri, yakinlah pada diri sendiri, yakinlah pada Allah, yakinlah bahawa kita mampu melakukannya.

"Kegagalan itu kadangkala mampu menghidupkan kembali hati dan jiwa yang telah mati"

Pengurus American Football pernah berkata, di dalam dunia ini terdapatnya 3 jenis manusia. Manusia pertama adalah manusia yang apabila dia jatuh, dia akan segera bingkas bangun dan terus berlari melawan arus. Manusia yang kedua adalah manusia yang apabila dia jatuh, dia akan bangun dengan perlahan dan tidak menghiraukan orang lain. Manusia yang ketiga adalah manusia yang apabila dia jatuh, dia akanterus terbaring di atas padang dan mendongak ke langit, berfikir bahawa tiada harapan lagi untuknya.

Di golongan manakah kita berada?

Do not look for friends who make you feel comfortable, but look for friends who force you to continue to grow.


-freezer_always-
-11.23 p.m.-
-10/1/2011-

Penantian tidak semestinya berakhir dengan pengakhiran, kadangkala pengakhiran itu berada di tengah...

Sunday, January 9, 2011

Menuju Puncak(Part 5)

3:30 AM Posted by freezer_91 No comments
-a picture by *jyoujo of deviantart-



Aku membelok ke kiri,

Alangkah terkejutnya aku melihat sebuah treler di hadapan,

Bergerak dengan perlahan sekali,

Sedangkan aku bergerak dengan laju,

Aku terkesima seketika,

Berfikir bahawa tanpa petunjuk yang utuh,

Kita tetap berada di jalan yang sama,

Tetapi kelajuan kita berbeza,

Aku segera menukar gear,

Mencuba untuk memotong treler itu,

Memberi hon supaya sedar akan kehadiranku,

Aku mengangkat tangan,

Tandanya aku memberikan semangat kepada pemandu treler tersebut,

Memberitahu dia bahawa inilah jalan yang benar,

Aku berjaya memotongnya,

Perjalanan aku teruskan,

Jalanku nampaknya tenang sahaja,

Hujan sudah berhenti,

Nampak seperti perjalanan aku ini tiada halangan,

Tiba-tiba datang satu kereta dari arah bertentangan,

Kereta itu menerjah lopak air yang berada di laluannya,

Terus memercikkan air ke arah kereta ku yang berada di lorong sebelah,

Aku terkejut,

Menjangkakan halangan yang tiada,

Datang tanpa disedari,

Aku berjaya mengawal kenderaanku,



bersambung...



-freezer_always-
-3.28 a.m.-
-9/1/2011-

Mengenali lebih mendalam siapa diri ini sebenarnya dan kenapa kita ada...

Saturday, January 8, 2011

Aku Mahu Menangis

4:11 PM Posted by freezer_91 No comments

-a picture by ~BlackSnoopy of deviantart-



Taman Mundur Selalu
8 Januari 2011
4.30 pagi

Bunyi telefon bimbitnya menjerit nyaring mengejutkan Afir dari tidur. Dia pantas memanjangkan tangannya untuk mengambil telefon bimbitnya itu dan bunyi alarm itu dimatikan.

Afir kemudian bangun dengan mata terpisat-pisat. Dia cuba untuk menghalau rasa mengantuk yang teramat yang masih lagi bergayut di atas kelopak matanya. Dia menggeliat kecil sebelum hatinya melafazkan tahmid, bagi mensyukuri nikmat kurniaan Allah S.W.T. kerana masih lagi mengizinkannya hidup sehari lagi. Selepas beberapa minit termenung, Afir mula bangun berdiri tegak di sisi katil dan terus meluru ke arah tandas untuk membersihkan diri.

Selesai sahaja membersihkan diri, Afir mengambil wuduk dan terus mengerjakan solat tahajud dan solat taubat. Dia berdoa bersungguh-sungguh, meminta ampun dari Penciptanya. Betapa terlalu banyak dosa yang telah dilakukannya sebelum ini. Dia ingin menangis, namun, matanya sudah kering, tidak lagi mahu mengeluarkan air mata. Kini baru dia sedar, dia tidak mampu menangis.

Dia teringat kisahnya yang berlaku dahulu sebelum dia pulang untuk bercuti selama 2 bulan.

Sewaktu itu, dia berada di masjid, menunggu masuknya waktu solat Maghrib. Usai solat Maghrib, dia berada di suatu sudut, untuk membaca al-Quran. Dia terus membaca al-Quran dan mindanya hanyut menghayati ayat al-Quran yang dibacanya.

Setelah 4 helai habis dibacanya, seorang pelajar meminta tolong agar mencapai al-Quran yang berada di belakangku. Aku berada betul-betul di hadapan rak al-Quran, jadi aku langsung tidak mempunyai masalah untuk membantu dia. Al-Quran dicapai dan diberikan kepadanya.

Aku meneruskan pembacaanku. Helaian ke-5. Baru sahaja separuh dari helaian itu, aku terdengar suara esakan dari orang di hadapanku. Orang yang meminta al-Quran tadi. Aku yakin benar bahawa surah yang dibacanya adalah surah al-Baqarah. Aku begitu mengenali ayat tersebut kerana ayat yang dibacanya adalah ayat permulaan surah al-Baqarah.

Aku segera menyelak helaian surah al-Baqarah untuk melihat maksudnya.

6. Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, engkau (Muhammad) beri peringatan atau tidak beri peringatan, mereka tidak akan beriman.

7. Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.

8. Dan di antara manusia ada yang berkata,”Kami beriman kepada Allah dan hari akhir,” padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

9. Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.

“Allah..sudah banyak kali aku membaca surah al-Baqarah, baru hari ini aku sedar betapa bermaknanya ayat ini. Abang di hadapan ini baru sahaja membaca tidak sampai separuh muka surat sudah menitiskan airmata. Aku yang membaca lima muka surat lebih masih lagi belum mampu menitiskan airmata? Ya Allah...”Afir termenung sendirian.

Betapa banyaknya perbezaan dia dengan abang itu.

"Ya-Allah, beginikah orang-orang yang dekat kepadaMu? Mudah sekali mereka menangis. Kurniakanlah aku hati yang mudah menangis mendengar ayat-ayatMu Ya-Allah..." Hatinya bergetar. Afir terus melayan perasaannya. Dia cuba untuk mengeluarkan airmata. Namun, cubaannya itu menemui jalan buntu.

Sekali lagi bunyi telefon bimbit menjerit nyaring menyedarkan Afir dari lamunannya. Akan tetapi kali ini bukanlah bunyi alarm, tetapi bunyi mesej masuk.

Afir terus mencapai telefon bimbitnya dan ibu jarinya menekan telefon bimbitnya untuk membaca mesej tersebut.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda :
"Tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah dan tidak akan masuk syurga orang terus menerus maksiat kepada Allah. Sekiranya kamu tidak berdosa pasti Allah akan mewafatkanmu dan Dia akan mendatangkan satu kaum yang berdosa kemudian mengampuni dan menyayangi mereka. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang"
Sender : Faiz +6014-9876532

Sekali lagi mesej yang terkesan pada hatinya. Faiz, teman sebiliknya ketika sem satu dahulu. Faiz banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya, mengajak dia ke arah kebaikan. Pendek kata, banyak ilmu yang dia dapat pelajari dari Faiz.

Telefon bimbit ditekannya bagi mencari nama Faiz di dalam senarai panggilan. Butang panggilan ditekannya. Dia ingin meluahkan perasaanya kepada rakannya itu. Dia mendekatkan corong telefon ke telinganya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam. Kenapa telefon pagi-pagi ni?” tanya Faiz.

“Aku mahu menangis Faiz, aku mahu mengeluarkan airmata, tetapi aku tak mampu.”

“Kenapa ni Afir? Cuba cerita.”

“Aku banyak berdosa, aku ingin mengeluarkan airmata. Airmata hanya untuk Allah. Tetapi aku gagal. Aku gagal. Sudah banyak kali aku memaksa mataku ini tetapi gagal.”

“Afir, manusia takkan lepas daripada tangisan. Mungkin dahulunya kita selalu menangis, tetapi di manakah tangisan itu kita halakan? Adakah kepada yang berhak menerimanya? Kita semua pernah menangis, tetapi kebanyakan tangisan kita adalah tangisan murahan. Tangisan orang yang ditinggalkan kekasih, orang yang kehilangan harta benda, orang yang gagal dalam peperiksaan. Namun, semua tangisan itu tidak berharga. Tangisan itu adalah tangisan dunia.”

“.....,” Afir termenung. Teringat dia sewaktu dia ditinggalkan kekasihnya dahulu. Berpuluh-puluh malam matanya dibasahi dengan airmata. Teramat sedih ketika itu. Dia tidak boleh menerima hakikat tersebut. Betapa hina dirinya, menangis akibat benda sekecil itu. Namun, itulah yang dinamakan pengajaran. Pengajaranlah yang senantiasa menolak kita kehadapan. Mengenal mana salah, mana betul. Hatinya mula terusik apabila mengenangkan betapa jahilnya dirinya dahulu.

“Kau fahamkan maksud aku?”

“???”

“Tangisan yang berharga adalah tangisan kerana Allah. Kita tahu setiap dari kita tidak terlepas dari dosa-dosa yang bertimbun banyaknya. Dosa-dosa yang kita lakukan, sudahkah terampuni? Amal-amal yang kita lakukan, apakah diterima? Bayangkan jika kita tidak layak masuk ke syurga kerana sikitnya amal kita. Bayangkan bagaimana ngerinya jika kita dihumban ke dalam neraka. Na’uzubillah. Kita semua tidak mahu perkara itu terjadi.”

“Hurmmm...” hati Afir mulai sebak.

“Afir, menangislah tatkala kita masih lagi sempat menangis. Menangislah, kerana itu sunnah! Jika kita tidak boleh menangis, maka menangislah akibat daripada tidak bolehnya kita menangis! Fikirkan, terlalu gelapnya hati kita kerana tidak mampu menangis. Betapa sombongnya kita kerana tidak mahu menangis!” Faiz melantangkan sedikit suaranya.

Afir tidak dapat menahan tangisnya lagi. Badannya tidak henti-henti menggeletar. Air matanya mulai mencurah-curah membasahi pipinya. Dia menekup wajahnya. Teresak-esak.

“Afir, menangislah sepuas-puasnya. Muhasabahlah dirimu itu,” Faiz meletakkan telefon. Dia ingin membiarkan Afir keseorangan. Tidak mahu mengganggunya.

“Ya Allah, aku banyak dosa! Jangan tarik aku ke neraka Ya Allah! Aku ingin bertaubat. Ampuni aku Ya Allah.” hatinya bermunajat lirih.

Dia menangis semahu-mahunya. Dia terkenangkan dosa-dosanya yang lampau. Maksiat yang telah dilakukannya berlegar di benak fikirannya. Afir terus menangis. Hatinya hiba. Hujan mulai turun membasahi bumi Kelantan. Menambahkan lagi kehibaannya. Dia ingin berubah. Kini hatinya menangis. Dan tangisan itu adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk Rabbnya. Tangisannya bukan lagi tangisan murahan. Tangisan yang mampu memadamkan api neraka.

Azan Subuh mula berkumandang.

Pagi itu, Subuh telah mendapatkan seorang lagi yang benar-benar ingin kembali kepada Penciptanya. Afir terus menerus menangis walaupun dalam solat....



p/s : 100th entri, bangga rasa...=.="



-freezer_always-
-4.11 p.m.-
-8/1/2011-

Menangislah hingga yang termampu...